ZTE Perkenalkan nubia Z17S Dan nubia Z17 miniS Dengan Empat Kamera

680
**********

ZTE yang bertanggungjawab mengendalikan nubia hari ini memperkenalkan dua model terbaru yang mewakili peranti flagship mereka iaitu nubia Z17S dan nubia Z17 miniS. Model-model ini membawakan penambah baikan dari segi luaran dan dalaman pada harga yang lebih rendah.

ZTE nubia Z17S didatangkan bersama skrin 5.73 inci dengan paparan Full HD+ bernisbah 18:9. Butang home fizikal dengan logo ikonik cincin merah kali ini digantikan dengan butang maya di bahagian bawah skrin.

Telefon pintar ini diletakkan cip pemproses Snapdragon 835 diikuti memori RAM 6GB/64GB atau RAM 8GB/128GB. Sementara sistem operasi Andorid Nougat dan nubia UI 5.1 menggalas antaramuka peranti ini.

Perbezaan yang dilakukan berbanding model Z17 terdahulu ialah kamera pada Z17S kini dipertingkatkan dengan gabungan sensor 12 + 23 Megapiksel. Manakala, di depan dipadankan dengan sensor berkembar 5 Megapiksel khusus untuk berswafoto. Kerangkan bodi pula dikukuhkan dengan aluminium gred penerbangan di samping panel gelas Gorilla.

Melengkapkan spesifikasi, ZTE nubia Z17S mendapat bekalan bateri sebesar 3,100mAh dengan sokongan pengecasan pantas 26W. Harga dicadangkan untuk peranti ini ialah CNY2,999 (RM1,922) bagi varian 6GB dan CNY3,999 (RM2,563) untuk varian 8GB.

ZTE nubia Z17 miniS pula hadir dengan kemas kini kecil yang tidak banyak berbanding model asal Z17 mini. Konfigurasi kamera selfie menampilkan dwi kamera 16 Megapiksel f/2.0 dan 5 Megapiksel f/2.2, mampu merakam gambar sudut lebar 80 darjah.

Menggunakan set cip Snapdragon 653, RAM 6GB, dan storan seluas 64GB, peranti ini turut dioperasikan oleh Android Nougat melalui bateri sebesar 3,200mAh.

ZTE nubia Z17 miniS didatangkan dengan pilihan warna Black Gold dan Deep Blue dijual pada harga CNY1,999 (RM1,281) dan untuk versi Aegean Blue pula adalah CNY2,099 (RM1,345) sebuah.

Setakat ini, nubia masih belum menyatakan sama ada peranti ini akan dijual di pasaran Malaysia kelak. Untuk pengetahuan, kedai konsep nubia terletak di pusat beli-belah LowYat, Kuala Lumpur.

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here