**********

HARGA: RM3,999

Penyediaan dwi lensa pada smartphone bukanlah sesuatu yang baru kerana ia sudah lama dijual di pasaran tempatan. Namun begitu, ini tidak pada Samsung kerana Galaxy Note8 merupakan model pertama keluaran jenama itu yang hadir dengan sokongan dwi lensa.

Tetapi berbeza dengan peranti dwi lensa yang lain, Samsung Galaxy Note8 menjanjikan keupayaan penggambaran dwi lensa yang jauh lebih baik kerana kedua-dua lensa kameranya menyokong teknologi penstabilan OIS bagi memastikan hasil gambar atau rakaman video yang lebih terang dan jelas. Selain kamera, Galaxy Note8 ini juga turut menawarkan beberapa pembaharuan serta penambahbaikan fungsi. Jadi jom kita sama-sama lihat apakah yang menarik dengan Samsung Galaxy Note8 ini…

 

SPESIFIKASI

 

PAKEJ PEMBELIAN

  1. Samsung Galaxy Note8 dengan S Pen
  2. Penyepit dan mata S Pen
  3. Adapter pengecas pantas
  4. Adapter microUSB ke USB Type-C
  5. Adapter USB Type-A ke USB Type-C
  6. Kabel USB Type-C
  7. Pin slot kad
  8. Earphone AKG dan earbud tambahan
  9. Sarung pelindung plastik

 

EKSTRA!

Sarung Pelindung Plastik Percuma!

Berbeza dengan Samsung Galaxy S8 dan Galaxy S8+, Samsung Galaxy Note8 kini telah didatangkan sekali dengan sarung pelindung plastik di dalam pakej pembeliannya. Walaupun sarung pelindung ini tidak mampu memberikan perlindungan maksimum untuk peranti anda, pendekatan yang diambil oleh Samsung Malaysia untuk menawarkan sarung pelindung secara percuma ini sememangnya sangat dialu-alukan.

 

PILIHAN WARNA

Samsung Galaxy Note8 sebenarnya telah diperkenalkan dalam lima pilihan warna menarik. Namun begitu, untuk pasaran Malaysia hanya tiga warna sahaja yang dibawa masuk secara rasmi iaitu Midnight Black, Orchid Gray dan juga Maple Gold. Manakala dua warna lagi iaitu Deepsea Blue dan Blossom Pink tidak diketahui sama ada akan dibawa masuk ke pasaran tempatan pada masa akan datang ataupun tidak. Walau bagaimanapun, tidak kira apa jua warna yang anda pilih, ia tetap menyokong panel depan yang sama warna iaitu hitam.

 

REKA BENTUK

Paparan Infiniti
(Kiri) Samsung Galaxy Note8 (Kanan) Samsung Galaxy S8+

Tidak dinafikan lagi bahawa Samsung Galaxy Note8 menerima sentuhan panel depan dengan paparan infiniti yang kelihatan mirip seperti Samsung Galaxy S8+. Namun begitu, Galaxy Note8 dilihat masih mengekalkan ciri-ciri rekaan siri ‘Galaxy Note’ sebelum ini dengan reka bentuk bucu kerangka yang lebih bersegi jika dibandingkan dengan Galaxy S8+ yang kelihatan lebih bulat.

 

Lensa Depan

Sama seperti siri Galaxy S8, bahagian atas paparan skrin Galaxy Note8 masih mengekalkan susunan perkakasan penting seperti lubang earpiece di tengah, kamera depan serta kamera pengecaman iris pada sisi kanan, manakala sisi kirinya pula menempatkan sensor, LED pengecaman iris dan juga LED notifikasi.

 

Butang Home

Sokongan paparan infiniti pada Galaxy Note8 telah mendorong Samsung untuk menyingkirkan butang fizikal Home yang sekian lama menjadi identiti rekaan peranti keluarannya sebelum ini.

Sebaliknya tiga butang kawalan tipikal Android iaitu Back, Home dan Recent Apps telah ditempatkan pada skrin. Lebih menariknya, sokongan 3D Touch pada butang Home membolehkan anda menekannya sama seperti anda menekan butang fizikal yang sebenar.

 

Dwi Lensa 12 Megapiksel

Keistimewaan Galaxy Note8 berbanding peranti keluaran Samsung yang lain adalah sokongan dwi lensa beresolusi 12 Megapiksel. Ia menggunakan pendekatan kombinasi sistem kamera yang sama seperti iPhone 7 Plus dan 8 Plus dengan penggunaan satu lensa bersudut luas dan satu lensa telefoto. Sistem kamera sebegini secara tidak langsung menawarkan keupayaan untuk menyokong 2x zum optikal.

 

Slot Kad

Kedudukan slot kad Galaxy Note8 ditempatkan pada bahagian atas kerangka dan boleh diakses menggunakan pin slot yang disediakan dalam pakej pembelian. Sokongan slot kad hibrid ini memberikan anda pilihan untuk menggunakan dua kad SIM bersaiz nano, ataupun satu kad SIM bersaiz nano dengan satu kad microSD.

 

Port & Speaker

Bahagian bawah kerangka kelihatan lebih sarat dengan penyediaan port 3.5mm audio jack, port USB Type-C, speaker dan juga slot untuk menyimpan S Pen. Sama seperti bahagian atas kerangka, bahagian ini juga turut menempatkan dua jalur antena di kiri dan kanan kerangka.

 

Butang Bixby

Selain daripada butang kuasa di sebelah sisi kanan dan juga butang melaras volume di sebelah sisi kiri kerangka Galaxy Note8, Samsung masih mengekalkan penyediaan butang dedikasi pembantu digital Bixby sama seperti siri Galaxy S8 sebelum ini.

Kedudukan butang Bixby di bawah butang melaras volume ini adakalanya agak mengelirukan. Tetapi anda memiliki pilihan untuk mematikan fungsi Bixby apabila butang ini ditekan.

 

ANTARAMUKA SAMSUNG EXPERIENCE V8.5

• Always-On-Display • Lockscreen • Homescreen
• App Drawer • Recent Apps • Notification Area
• Quick Settings • Multi Window • Settings • Kamera

 

 

APA PERBEZAANNYA DENGAN MODEL SEBELUM INI?!

Dari segi reka bentuk fizikal, Samsung Galaxy Note8 telah menerima sentuhan paparan infiniti yang sama seperti Samsung Galaxy S8 dan Galaxy S8+. Sungguhpun begitu, kemunculan Samsung Galaxy Note8 sebenarnya telah menampilkan pembaharuan dan penambahbaikan yang lebih baik berbanding mana-mana siri peranti pintar keluaran Samsung sebelum ini. Jadi bagi memudahkan anda melihat sendiri apakah kelebihan dari aspek sokongan spesifikasi, kami akan membandingkannya dengan Samsung Galaxy S8+ dan juga Samsung Galaxy Note FE seperti di dalam jadual berikut:

 

CIRI-CIRI MENARIK SAMSUNG GALAXY NOTE8

1# Paparan infiniti dengan HDR10
Skrin dengan bezel nipis

Sokongan skrin 6.3 inci dengan saiz bezel yang sangat nipis bukan sahaja telah mendominasi hampir keseluruhan rekaan panel depan Galaxy Note8, malah kombinasi format paparan 18.5:9 yang telah dioptimumkan untuk sokongan video 21:9, paparan berkualiti Quad HD+ Super AMOLED, serta sokongan kandungan HDR10 pada Galaxy Note8 berupaya menjanjikan pengalaman multimedia mudah alih yang terbaik boleh anda miliki setakat ini.

Perbezaan paparan video 18.5:9 dan 21:9

 

2# Fungsi App Pair

Selain fungsi Multi Window (Split Screen) yang menjadi ciri-ciri asas peranti yang dioperasikan dengan Android 7.0 Nougat, Galaxy Note8 turut diperkenalkan dengan satu lagi fungsi terbaru yang dikenali sebagai App Pair. Dengan fungsi ini, ia mampu melancarkan pengoperasian dua aplikasi secara serentak kerana anda boleh menentukan sendiri senarai kombinasi dua aplikasi yang akan dioperasikan sebaik sahaja ianya diaktifkan.

Cara menghasilkan App Pair

  • Langkah 1 > Leretkan skrin ke kiri untuk mengaktifkan tetingkap Apps Edge pada Edge Panel dan klik pada ikon [+].
  • Langkah 2 > Klik pada ‘Create App Pair’ di bahagian atas kanan skrin.
  • Langkah 3 > Pilih kombinasi dua aplikasi yang diingini.
  • Langkah 4 > Klik pada butang ‘Done’ dan tekan butang Back.
  • Langkah 5 > Klik pada ikon App Pair untuk melancarkan dua aplikasi secara serentak.

 

3# S Pen dengan sokongan fungsi baru

Jika dilihat pada rekaan S Pen Galaxy Note8 dengan generasi sebelum ini, tiada perbezaan fizikal yang boleh anda lihat. Namun begitu, Samsung telah mempertingkatkan keupayaan S Pen Galaxy Note8 ini dengan sensor tekanan mencecah sehingga 4096 (level) bagi memastikan ia lebih sensitif dan tepat sama seperti menggunakan pen yang sebenar. Tidak cukup dengan itu, S Pen pada Galaxy Note8 turut membawakan beberapa fungsi baru yang lebih menarik seperti Live Message, Screen Off Memo dan juga Translate.

Live Message

Kini anda boleh berinteraksi dengan cara yang lebih unik kerana Live Message membolehkan anda melukis atau menulis dengan efek animasi yang menarik dan terbaik bagi mengekspresikan perasaan anda. Berbeza dengan aplikasi suntingan biasa, penerima akan dapat melihat lukisan atau tulisan itu dengan efek animasi berbanding hanya efek yang statik.

 

Screen Off Memo

Pengambilan nota terasa jauh lebih mudah dan cepat kerana anda hanya perlu menarik keluar S Pen dari slotnya dan boleh terus menulis pada skrin Galaxy Note8 tanpa perlu mengaktifkan paparan skrin. Malah anda bebas menulis sepanjang manapun nota tanpa had halaman. Apabila selesai mengambil nota, ia boleh terus dipinkan pada paparan Always-On-Display (AOD) ataupun disimpan di dalam aplikasi Samsung Notes.

 

Translate

Satu lagi fungsi menarik yang dapat dinikmati pada Galaxy Note8 menggunakan S Pen adalah Translate yang akan membantu anda untuk menterjemahkan perkataan atau ayat dengan lebih mudah. Tidak cukup dengan itu, kepintaran fungsi terjemahan ini juga membolehkan anda untuk mendapatkan unit tukaran mata wang ataupun unit ukuran bergantung kepada pilihan bahasa atau negara yang telah dipilih.

 

4# Dwi kamera dengan sokongan OIS

Kehadiran Samsung Galaxy Note8 ternyata agak istimewa memandangkan ia merupakan peranti pertama keluaran Samsung yang menampilkan sokongan dwi lensa. Sungguhpun begitu, ia bukanlah sesuatu yang baru kerana sudah banyak peranti di pasaran yang menyokongnya.

Tetapi berbeza dengan peranti dwi lensa yang lain, Galaxy Note8 dilihat lebih berkuasa kerana ia merupakan smartphone pertama yang menampilkan sokongan teknologi OIS (Optical Image Stabilization) pada kedua-dua lensanya. Ini bermakna anda masih boleh mendapatkan hasil gambar ataupun rakaman video yang lebih stabil dan jelas walaupun anda menggunakan 2x zum optikal pada lensa kedua.

Dua fungsi menarik diperkenalkan:-
Live focus

Pemilihan mod penggambaran Live Focus akan membantu anda untuk mendapatkan gambar dengan efek bokeh mirip seperti mod Portrait pada iPhone 7 Plus dan 8 Plus.

Background blur (OFF)
Background blur (ON)

Lebih menariknya, anda boleh menentukan tahap kabur pada latar belakang secara manual dan masa-nyata. Bahkan anda juga boleh melaras efek bokeh itu selepas gambar itu diambil dan ianya boleh diubah pada bila-bila masa.

Cara mengaktifkan mod Live Focus:

  • Langkah 1 > Aktifkan kamera, klik pada menu LIVE FOCUS.
  • Langkah 2 > Pastikan subjek berada pada jarak 4 kaki untuk mengaktifkan efek bokeh.
  • Langkah 3 > Efek bokeh akan diaktifkan apabila perkataan berwarna kuning ‘Live focus is available.’ terpapar.

 

Dual Capture

Apabila anda mengambil gambar menggunakan mod Live Focus, lensa telefoto akan digunakan dan disebabkan oleh itulah jarak subjek kelihatan lebih dekat seperti dizum. Jadi melalui pengaktifan fungsi Dual Capture ketika mengambil gambar menggunakan mod Live Focus membolehkan gambar yang diambil akan disimpan dalam dua format. Ini bermakna secara automatik gambar yang diambil akan disimpan dalam dua format berbeza iaitu Close-Up ataupun Wide Angle.

Close Up
Wide Angle

 

5# RAM 6GB

Keupayaan multitasking menggunakan fungsi App Pair pada Samsung Galaxy Note8 sudah tentunya akan terasa lebih lancar memandangkan ianya menyokong kapasiti RAM sebesar 6GB. Tidak dinafikan lagi Galaxy C9 Pro merupakan model pertama dari Samsung yang menampilkan sokongan kapasiti RAM 6GB, tetapi ianya tidak setanding Galaxy Note8 yang hadir dengan teknologi RAM LPDDR4X yang lebih berkuasa dan efisien.

 

6# Pengesahan Biometrik

Sekiranya anda menginginkan peranti yang lebih selamat, Galaxy Note8 mampu memenuhi keperluan anda kerana ia menyokong sehingga tiga jenis pengesahan biometrik. Ini bermakna selain daripada menggunakan sensor pengimbas cap jari, ia turut dilengkapi dengan sensor pengimbas iris dan juga pengecaman wajah. Lebih menariknya, anda boleh menggunakan beberapa kombinasi untuk mengakses Galaxy Note8 iaitu PIN + pengimbas cap jari + pengecaman wajah, ataupun PIN + pengimbas cap jari + pengimbas iris.

 

ZON UJIAN

Untuk melihat sendiri keupayaan Samsung Galaxy Note8 jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain di pasaran, kami telah memilih tiga lagi model yang kini sedang hangat di pasaran iaitu Apple iPhone 8 Plus, HTC U11 dan juga Sony Xperia XZ Premium. Ketiga-tiga model ini dipilih selepas mengambil kira harga jualan di atas RM3000. Jadi anda boleh merujuk beberapa jenis ujian yang akan dijalankan seperti berikut:

ZON 1: PRESTASI BENCHMARK

Jika dilihat pada hasil ujian prestasi benchmark sintetik yang telah dijalankan, keupayaan Samsung Galaxy Note8 yang dioperasikan dengan pemproses Exynos 8895 boleh dianggap setanding dengan pesaingnya yang dioperasikan dengan pemproses Apple A11 Bionic dan Qualcomm Snapdragon 835. Berdasarkan pengalaman kami menggunakannya sepanjang tempoh reviu, sokongan pemproses dari Samsung dengan sentuhan antaramuka baharu Samsung Experience v8.5 terasa begitu lancar sekali.

 

ZON 2: PAPARAN SKRIN

Sememangnya tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa Samsung Galaxy Note8 boleh dianggap antara smartphone dengan sokongan paparan skrin yang paling cantik. Ini kerana ia menampilkan rekaan skrin infiniti berukuran 6.3 inci dengan sentuhan Quad HD+ Super AMOLED yang mampu menghasilkan kontras dan juga warna yang sangat menonjol sekali.

 

ZON 3: SPEAKER

Agak mengecewakan kerana Samsung dilihat masih berdegil dan tidak begitu berdaya saing dalam aspek speaker. Ini dapat dilihat apabila Galaxy Note8 masih lagi mengekalkan penggunaan satu speaker berkualiti mono, manakala pesaingnya yang lain dilengkapi dengan dua buah speaker berkualiti stereo. Sungguhpun begitu, kekuatan speaker Samsung Galaxy Note8 adalah lebih baik dan lantang jika dibandingkan dengan Sony Xperia XZ Premium.

 

ZON 4: BATERI

Sokongan bateri Galaxy Note8 adalah lebih besar berbanding pesaingnya yang lain, terutamanya iPhone 8 Plus yang memiliki kapasiti bateri yang sangat kecil. Tetapi jika diambil kira kapasiti bateri dengan masa mengecas penuh yang diambil, Galaxy Note8 merupakan yang paling pantas berbanding pesaingnya. Ini kerana ia menggunakan adapter pengecas pantas yang didatangkan sekali dalam pakej pembelian dengan sokongan output 5V2A / 9V1.67A.

 

HASIL GAMBAR

HDR
Low Light
Makro
Makro (Low Light)
Outdoor
Indoor
Malam
Makanan

 

KOMEN

PRO
  • Walaupun Galaxy Note8 merupakan peranti pertama dari Samsung yang menampilkan sokongan dwi kamera, ia boleh dianggap sangat baik kerana dilengkapi dengan fungsi menarik seperti dwi OIS, 2x zum optikal dan juga mod Live Focus.
  • Antaramuka Samsung Experience dirasakan jauh lebih baik jika dibandingkan dengan antaramuka lama TouchWiz.
  • S Pen yang dipertingkatkan tahap tekanannya terasa lebih sempurna, ditambah pula dengan pelbagai fungsi terbaru seperti Live Message, Screen Off Memo dan Translate yang memudahkan urusan harian.
  • Rekaan kerangka yang sedikit bersegi jika dibandingkan dengan siri Galaxy S8 kelihatan lebih menarik pada pendapat kami.
  • Merupakan antara peranti Android yang paling berkuasa dengan sokongan spesifikasi yang baik, terutamanya penambahan kapasiti RAM yang kini mencecah 6GB.
KONTRA
  • Harga jualan yang mahal dan merupakan peranti Android yang paling mahal dijual di pasaran tempatan buat masa ini.
  • Rekaan paparan skrin infiniti yang memanjang menyukarkan sesetengah pengguna, terutamanya yang memiliki tangan yang kecil untuk menyentuh bahagian atas skrin.
  • Ketahanan bateri berkapasiti 3300mAh pada Galaxy Note8 boleh dianggap agak sederhana sahaja.
  • Hanya menyokong satu speaker berkualiti mono dan ia sememangnya sangat mengecewakan.
  • Kedudukan sensor pengimbas cap jari yang sama seperti siri Galaxy S8 sememangnya terasa sedikit janggal untuk digunakan.

 

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here