Google Pixel 2 – Raja Kamera Telefon Pintar Masa Kini

1318
**********

Baru-baru ini Google telah memperkenalkan telefon pintar terbarunya Pixel 2 dan Pixel 2 XL kepada orang ramai. Generasi kedua Pixel ini telah melalui beberapa naik taraf, kali ini lebih tahan lasak dengan memperkenalkan ciri kalis air setara dengan peranti flagship keluaran jenama lain.

Google Pixel 2 XL

Dimulakan dengan model premium, Pixel 2 XL hadir dengan kerangka bodi yang lebih lebar. Ia dipadankan bersama paparan P-OLED dengan nisbah 18:9 bersaiz 6 inci. Resolusi skrin 2880 x 1440p dapat menghasilkan sejumlah 538ppi sekaligus melihatnya di bawah sinaran matahari tidak menjadi masalah – kini Always On Display membantu pengguna melihat masa dan menerima notifikasi sepanjang hari.

Google turut meletakkan panel gelas 3D melengkung di bahagian depan dan kehadiran kamera tunggal di bahagian belakang. Bukan menggunakan dwi kamera, Pixel 2 XL dibekalkan sensor 12.2 Megapiksel f/1.8 dan sebuah sensor 8 Megapiksel f/2.4 untuk kegunaan selfie.

Tiada bicu 3.5mm audio jack pada Google Pixel 2

Dikuasakan oleh cip berkuasa Snapdragon 835 dan RAM 4GB, peranti ini ialah yang pertama mengoperasikan Android 8.0 Oreo terus dari kotak. Storan pula menyediakan ruang sebanyak 64GB dan tiada slot kad untuk microSD. Untuk janaan kuasa, sebuah bateri sebesar 3,520mAh telah dimuatkan.

Google Pixel 2 XL akan dijual November depan pada harga bermula USD850 (lebih kurang RM3,599) dalam pilihan warna Hitam dan Hitam/Putih.

Google Pixel 2

Model seterusnya, Pixel 2 didatangkan dengan saiz yang lebih kompak iaitu menggunakan skrin berukuran 5 inci AMOLED bersama resolusi standard 1080p HD penuh dan bateri berkapasiti 2,700mAh.

Dari segi perkakasan dalaman lain, tiada perbezaan yang ketara malah kedua-dua peranti menawarkan sistem audio stereo di muka depan dan menariknya ciri Squeeze yang terdapat pada HTC U 11 diadaptasi ke dalam Pixel 2 dan Pixel 2 XL.

Melaluinya, di kiri dan kanan bingkai telefon kini boleh dipicit untuk membuka Google Assistant atau menetapkannya untuk aplikasi lain mengikut kesukaan malah, tekanan juga boleh dilaraskan mengikut keselesaan masing-masing.

Harga yang dicadangkan untuk Google Pixel 2 pula bermula USD650 (kira-kira RM2,752) dengan warna Biru cair, Hitam, dan Putih. Ia akan mula dipasarkan lebih awal iaitu bulan ini.

Dalam masa sama, Google turut berkongsi dimana kedua-dua peranti mereka telah menduduki tangga teratas carta DxOMark dengan skor setinggi 98 lantas mencantas kedudukan iPhone 8 Plus dan Galaxy Note8. Ia tidak mengejutkan kerana Pixel terdahulu pernah menjadi telefon kamera terbaik untuk tahun 2017.

Google juga telah membuktikan kamera tunggal yang direka mampu mengambil gambar efek bokeh yang lebih terperinci dan lebih jelas setanding dwi kamera di luar sana – boleh dikatakan lebih baik dalam persekitaran yang gelap.

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here