HARGA: RM 239

Siapa yang tidak kenal dengan model ikonik Nokia 3310 yang telah dianggap sebagai lagenda dalam industri telefon mudah alih. Ternyata model ini sangat popular sedikit masa dahulu kerana ia bukan sahaja menyokong ketahanan bateri yang sangat lama, tetapi juga kerana ketahanan kerangkanya sukar untuk disangkal lagi.

Diperkenalkan pada September 2000, Nokia 3310 telah dinobatkan sebagai salah satu telefon yang paling tinggi jualannya apabila berjaya terjual sebanyak 126 juta unit di seluruh dunia. Kini selepas 17 tahun berlalu, Nokia 3310 telah muncul semula dengan kehadiran model Nokia 3310 Dual SIM atau lebih dikenali sebagai Nokia 3310 (2017).

 

SPESIFIKASI RINGKAS

  • Sistem Operasi: Nokia Series 30+
  • Kad SIM: Dual SIM / Micro SIM
  • Kamera Utama: 2 Megapiksel
  • Flash: LED flash
  • Radio FM:
  • Bluetooth: v3.0
  • Memori: 16MB ROM, microSD 32GB
  • Bateri: 1200mAh

 

PAKEJ PEMBELIAN

Kotak pembungkusan
Aksesori
  1. Nokia 3310 Dual SIM
  2. Bateri
  3. Pengecas
  4. Earphone
  5. Buku manual

 

 

 

FIZIKAL

Pilihan Warna

Sesuai dengan trend tahun 2017, Nokia 3310 Dual SIM telah menampilkan pilihan warna yang lebih terang dan moden dengan dua warna baru iaitu Warm Red dan juga Yellow. Malah kedua-dua model ini juga turut memiliki kemasan permukaan warna yang berkilat. Manakala dua warna klasik dengan kemasan permukaan jenis matte iaitu Dark Blue dan Grey masih dikekalkan.

 

Rekaan Kerangka

Tidak dinafikan lagi generasi baru Nokia 3310 ini masih mengekalkan filosofi rekaan yang hampir sama dengan model asal, terutamanya pada kemasan jalur berwarna putih di sekeliling skrin hingga ke butang navigasi dan juga pada rekaan butang alfanumerik. Walau bagaimanapun, kini ia telah ditambah dengan butang D-Pad dan juga bahagian atas panel depan didominasi oleh paparan skrin.

Paparan Skrin

Paparan monokrom dengan resolusi 84 x 48 piksel pada model pertama Nokia 3310 kini telah diperbaharui dengan paparan yang lebih besar berukuran 2.4 inci dengan resolusi 240 x 320 piksel. Bahkan ia juga turut menerima skrin berwarna yang menggunakan teknologi paparan TFT.

 

Kamera 2 Megapiksel

Seperti yang diketahui, bahagian panel belakang model asal Nokia 3310 tampil kosong dan hanya memaparkan logo Nokia sahaja. Tetapi generasi terbaru ini telah dilengkapi dengan kamera beresolusi 2 Megapiksel dan juga sebuah LED Flash.

Malah bahagian ini juga turut boleh ditemui lubang speaker yang mana sebelum ini ditempatkan di sisi kiri kerangka pada model asal.

 

Port USB & Audio

Jelas dapat dilihat bahawa Nokia 3310 model baru ini tampil dengan kerangka yang jauh lebih nipis berbanding model asalnya. Bahagian atas yang sebelum ini menempatkan butang kuasa yang agak besar, telah digantikan dengan port microUSB untuk tujuan mengecas atau memindahkan data.

Manakala bahagian bawah kerangkanya pula telah dilengkapi dengan port 3.5mm audio jack untuk tujuan mendengar muzik atau radio FM.

 

Slot Kad & Bateri

Sebagaimana model sebelum ini, bateri berkapasiti 1200mAh pada Nokia 3310 Dual SIM ini boleh dikeluarkan dari slotnya. Apa yang lebih istimewa, kini ia mampu menyokong sehingga dua kad micro SIM dan juga satu slot berasingan untuk anda memasukkan kad microSD dengan kapasiti maksimum sehingga 32GB.

 

 

APA YANG PERLU ANDA TAHU?!

Nokia Series 30+

Memandangkan ia bukanlah sebuah smartphone, Nokia 3310 Dual SIM dioperasikan oleh platform Nokia Series 30+ yang sangat ringkas antaramukanya.

 

• Homescreen                                        • Menu                                                • Tetapan

 

Tetapan Kamera

Nokia 3310 Dual SIM menyokong fungsi tetapan yang agak baik bagi sebuah telefon asas seperti talaan tahap keterangan, efek imej, mod malam, mod burst, dan juga pemasa. Malah ia juga menyokong sehingga 15x zum digital dan anda juga boleh menggunakan fungsi pause ketika membuat rakaman video.

 

Snake

Sebut sahaja tentang Nokia 3310, permainan Snake sememangnya tidak dapat dipisahkan. Kini dengan model terbaru Nokia 3310 Dual SIM, permainan ini telah diperbaharui dengan sokongan paparan grafik berwarna dan juga corak permainan yang menerima sentuhan baru.

Radio FM

Tidak dinafikan lagi agak sukar untuk kita menjumpai smartphone yang menyokong radio FM dengan fungsi rakaman. Ianya tidak menjadi masalah kerana Nokia 3310 Dual SIM ada menyokong fungsi ini dan hasil rakaman audio akan disimpan dalam format .WAV.

 

Ketahanan Bateri
Masa Berbual Sehingga 22.1 jam
Masa Menunggu Sehingga 25.3 hari
Masa Mendengar MP3 Sehingga 51 jam
Masa Mendengar Radio FM Sehingga 39 jam

 

 

EKSTRA!!!
Apa terjadi apabila terjatuh?!

Sebagaimana yang kita ketahui, Nokia 3310 sememangnya tahan lasak dan ini juga tidak terkecuali pada model terbarunya kerana ia masih tampil elok walaupun terjatuh di atas konkrit. Cuma permukaan yang terkena impak akan kelihatan berkilat tanpa kesan calar yang begitu ketara.

 

HASIL GAMBAR

Makro
Outdoor

 

KOMEN EDITOR

Dikategorikan sebagai telefon asas yang sesuai untuk membuat panggilan dan menghantar SMS, Nokia 3310 Dual SIM ini sudah tentunya akan menjadi pilihan pengguna yang ingin menjadikannya sebagai telefon kedua ataupun dijadikan sebagai hadiah buat insan tersayang.

Apa yang pasti Nokia 3310 Dual SIM ini bukan sekadar menawarkan fungsi asas sebuah telefon, tetapi ia turut dilengkapi dengan fungsi menarik seperti sokongan dua slot kad SIM serta kad microSD, kamera asas dan juga radio FM dengan keupayaan rakaman audio. Bahkan kami juga berasa agak kagum dengan kualiti audio MP3 yang dimainkan oleh Nokia 3310 Dual SIM apabila ia disambungkan ke earphone berjenama.

Walau bagaimanapun, fungsi sebenar Nokia 3310 sebagai telefon asas masih lagi jelas kerana ia hanya menyokong rangkaian 2G yang sememangnya tidak sesuai untuk aktiviti melayari Internet. Selain itu, ia tidak lagi menampilkan keunikan rekaan kerangka Xpress-on Cover yang sangat popular sebelum ini.