HARGA: RM1,899

Dikategorikan untuk kelas pertengahan, HTC U Play memiliki badan lebih kecil jika dibandingkan dengan HTC U Ultra, dengan paparan skrin 5.2 inci HD Penuh. Ia menggunakan Mediatek Helio P10 sebagai tenaga penggerak, dengan 4GB RAM dan 64GB storan dalaman serta kad microSD sehingga 2TB boleh dimuatkan ke dalamnya.

Tiada perkara unik atau berbeza pada U Play untuk dibandingkan dengan telefon pintar sedia ada di pasaran, melainkan kehilangan port audio 3.5mm, dan kehadiran teknologi fon kepala HTC USonic melalui sambungan USB-C serta panel belakang dengan kemasan ‘Liquid Surface’ yang tiada pada peranti lain.

 

SPESIFIKASI RINGKAS…

  • Sistem Operasi: Android 7.0 Nougat
  • CPU: MediaTek Helio P10, Octa-core 2.0GHz
  • Kad SIM: Dual SIM / Nano SIM
  • Kamera Utama: 16 Megapiksel AF
  • Flash: Dual LED Flash
  • Kamera Depan: 16 Megapiksel
  • Bluetooth: v4.2
  • WiFi: 802.11 b/g/n/ac
  • Memori: 64GB ROM, 4GB RAM / microSD sehingga 2TB
  • Bateri: 2500mAh / Fast charging

 

PAKEJ PEMBELIAN

0. Kotak Pembungkusan
1. Peranti HTC U Play
2. Kabel USB
3. Adapter Pengecas
4. Pin Slot Kad
5. Earphone
6. Pilihan Ear-bud
7. Kain pengelap & Casing jernih
8. Kad waranti & Buku manual

 

FIZIKAL

Rekaan Premium

Perbezaan ketara yang dapat dilihat pada model HTC U Play ini berbanding HTC U Ultra adalah, menampilkan paparan skrin berukuran 5.2 inci Super LCD dengan resolusi 1920 x 1080 piksel berbanding 5.7 inci Super LCD5 dengan resolusi 2560 x 1440 piksel pada model HTC U Ultra. Malah rekaannya juga kelihatan premium walaupun hadir dalam kategori kelas pertengahan.

 

Speaker Stereo

Sokongan dua buah speaker yang terletak di lubang earpiece dan juga lubang speaker di bahagian bawah kerangka, HTC U Play telah menerima teknologi audio yang sangat berkualiti dari HTC BoomSound dengan sentuhan Edisi HiFi.

Selain itu, ia juga turut menyokong fungsi HTC USonic dan juga keupayaan rakaman audio 3D atau Hi-Res Audio Stereo.

 

Lensa UltraPixel

Kamera utama dan hadapan HTC U Play ini menawarkan penggambaran beresolusi 16 Megapiksel. Bezanya, kamera utama dilengkapi dengan sokongan teknologi PDAF serta Laser Focus dual LED flash, aperture f/2.0 dan juga teknologi OIS.

Manakala kamera hadapan pula dilengkapi teknologi UltraPixel dan aperture f/2.0, tetapi agak mengecewakan kerana permukaan lensa yang timbul telah mencacatkan penampilannya.

 

USB Type-C

Salah satu keistimewaan peranrti ini adalah sebagaimana peranti premium yang lain, HTC U Play turut dilengkapi port USB Type-C dengan sokongan Fast Charging.

Apa yang pasti, penyediaan adapter pengecas dengan output sehingga 5V/2A masih menjanjikan masa mengecas yang pantas.

 

Slot Kad Hibrid

Slot kad jenis hibrid yang disokong oleh HTC U Play ini memerlukan anda untuk membuat pilihan sama ada ingin menggunakan dua kad SIM bersaiz nano, ataupun menggunakan satu SIM nano dan juga satu kad microSD.

Untuk mengakses slot kad yang terletak di bahagian atas kerangka HTC U Play, anda perlu menggunakan pin khas yang disediakan.

 

 

APA YANG COOL?!

Kemasan ‘Liquid Surface’

HTC U Play juga kelihatan sangat menonjol penampilannya dengan kemasan ‘Liquid Surface’ pada panel belakangnya sepertimana HTC U Ultra.

Berbeza dengan peranti dengan sokongan panel belakang kaca yang lain, HTC U Play menawarkan permukaan yang sangat berkilat dengan efek mutiara (pearl) yang sangat cantik apabila terkena cahaya. Cuma kekurangan utama sentuhan sebegini adalah ianya mudah untuk menerima cap jari pada permukaannya.

 

Swafoto HDR
Kamera Swafoto

Sekiranya anda merupakan penggemar swafoto, HTC U Play menyokong kamera depan beresolusi 16 Megapiksel dengan dua mod tambahan yang sangat praktikal iaitu HDR auto serta Selfie Panorama.

Kamera Utama

Kedua-dua fungsi ini sedikit sebanyak membantu anda untuk mendapatkan gambar yang lebih baik di dalam senario yang berbeza iaitu di dalam persekitaran yang terlalu terang ataupun sebaliknya dan kepada mereka yang ingin mengambil gambar secara berkumpulan.

 

Earphone HTC USonic

Setiap individu memiliki bahagian dalam telinga yang berbeza, sama seperti cap jari mereka. Oleh itu, HTC U Play turut dilengkapi dengan earphone HTC USonic yang akan menganalisa keupayaan pendengaran anda agar bunyi yang dihasilkan berjaya disesuaikan dengan tahap pendengaran setiap individu.

Malah ia juga turut menampilkan sambungan jenis USB Type-C bagi disesuaikan dengan HTC U Play yang tidak memiliki port audio.

 

HTC Boost+

Tanpa perlu menggunakan aplikasi pihak ketiga yang akan menggunakan ruang storan peranti anda, HTC U Play yang dioperasikan dengan Android M telah didatangkan dengan aplikasi yang dikenali sebagai HTC Boost+.

Aplikasi pra-pasang ini membantu anda mengurus peranti seperti memastikan sistem sentiasa dioptimumkan, memantau trafik data, memadam fail yang tidak diperlukan dan pelbagai lagi supaya smartphone ini dapat beroperasi dengan baik .

 

Pengimbas Cap Jari

Tidak lengkap sekiranya smartphone ini tidak dilengkapi dengan fungsi pengimbas cap jari. Bagi pengguna yang mementingkan aspek keselamatan smartphone daripada diakses oleh individu yang tidak diingini, HTC U Play adalah satu pilihan yang terbaik buat anda.

Selain menyediakan akses pengimbas cap jari yang lebih pantas, ia juga menyokong lima cap jari dengan menu berbeza. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengimbas jari sehingga 360 darjah.

 

ZON UJIAN

I) Fast Charging (5V/2A)

Port mengecas jenis USB Type-C yang disokong oleh HTC U Play ini telah dilengkapi dengan teknologi pengecasan pantas yang menjanjikan masa mengecas yang pantas. Bahkan penyediaan adapter pengecas pantas dengan ouput 5V/2A sangat membantu dalam memastikan peranti anda sentiasa kekal aktif.

  • HTC U Play mula dicas apabila bateri tinggal 5%.
  • Untuk 30 minit pertama, bateri smartphone ini meningkat sebanyak 48%.
  • Selepas 45 minit mengecas, bateri HTC U Play meningkat sebanyak 66%.
  • Untuk mengecas penuh peranti dengan bateri berkapasiti 2500mAh, masa yang diambil adalah 1 jam 55 minit.

Tetapi berdasarkan perbandingan masa mengecas penuh yang telah dijalankan, kepantasan mengecas HTC U Play boleh dianggap sederhana jika dibandingkan dengan pesaingnya yang memiliki kapasiti bateri yang lebih besar.

 

II) Prestasi Benchmark

Walaupun HTC U Play menampilkan sokongan pemproses berkuasa dari MediaTek Helio P10, ia masih boleh bertanding dengan kebanyakan peranti yang setanding di pasaran. Jadi untuk itu, kami akan menjalankan beberapa ujian benchmark yang berbeza pada HTC U Play dengan beberapa peranti lain sebagai rujukan dan juga panduan anda akan kemampuannya.

MODEL ANTUTU 6 GEEKBENCH 4 BASEMARK
OS II
BASEMARK X
HTC U Play 54,248 3,044 1,152 14,529
OPPO R9s 66,081 3,130 1,091 10,519
Honor 8 94,892 6,380 2,099 16,592

 

 

HASIL GAMBAR

Outdoor
Senja

 

KOMEN EDITOR

Tidak dinafikan, harga yang ditawarkan oleh peranti ini agak mahal jika dibandingkan dengan kelas tersendiri di pasaran. Tetapi, dengan harga tersebut, anda boleh memiliki sebuah smartphone dengan penggambaran utama dan hadapan beresolusi 16 Megapiksel bersama mod HDR dan Selfie Panorama serta pengimbas cap jari yang pantas. Tidak cukup dengan itu, penampilan panel belakang dengan sentuhan unik yang dipanggil ‘Liquid Surface’ juga sememangnya kelihatan sangat memukau. Kehebatan audio peranti ini juga boleh dianggap antara yang terbaik dengan sokongan speaker stereo HTC BoomSound dengan sentuhan HiFi Edition dan juga keupayaan rakaman audio 3D berdefinisi tinggi.

Namun begitu, HTC U Play masih memiliki kekurangannya seperti kapasiti bateri 2500mAh yang boleh dianggap sangat kecil bagi peranti dengan harga sebegini dan yang paling mengecewakan adalah ketiadaan port 3.5mm audio jack. Ia memerlukan pengguna membeli adapter USB Type-C ke 3.5mm audio jack secara berasingan bagi membolehkan earphone standard digunakan bersama-sama peranti ini.