**********

Pasaran peranti mampu milik merupakan pasaran yang sangat besar dan tidak hairanlah jika terdapat beberapa syarikat meletakkan fokus pada kelompok pengguna ini. Xiaomi merupakan salah satu jenama yang saban tahun mengeluarkan peranti kelas ekonomi yang cukup bagus untuk pengguna. Xiaomi Malaysia membawakan Redmi Note 4 ke dalam pasaran tempatan, dan kami sudah pun mendapatkan peranti ini untuk diulas, dikupas dan dikongsikan bersama anda.

 

SPESIFIKASI

REKA BENTUK

Xiaomi Redmi Nota 4 mempunyai badan aluminium dalam reka bentuk yang hampir sama dengan Redmi Note 3. Dari pandangan mata kasar tidak banyak perbezaan yang dapat kita lihat di antara kedua-dua peranti namun Xiaomi ada melakukan beberapa pembaharuan dan tambah baik pada rekaan dan kualiti fizikal Redmi Note 4.

Hadapan

▲ Perubahan yang boleh dilihat pada model terbaru adalah pada lokasi sensor yang telah dialih bagi menampakkan panel yang lebih simetri.

 

Belakang

▲ Kemasan yang digunakan hampir sama pada kedua-dua peranti, namun keseluruhan feel pada Redmi Note 4 adalah lebih baik kerana bar atas dan bawah lebih kemas.

 

Sisi Tepi

▲ Sisi Redmi Note 4 (kanan) lebih nipis, lantas lebih selesa ketiga digunakan.

 

Atas / Bawah

▲ Redmi Note 4 masih menawarkan fungsi IR Blaster, audio jack dan sambungan MicroUSB.

 

PERISIAN

Android Marshmallow pada Redmi Note 4 telah diubah suai dan dimodifikasi lantas dikenali sebagai MIUI versi 8. Bagi pengguna yang pernah menggunakan peranti dari Xiaomi, pasti rekaan antaramuka ini cukup dikenali. Namun bagi mereka yang baru hendak mencuba peranti Xiaomi, terutamanya Redmi Note 4, kami akan kongsikan antaramuka menyeluruh MIUI 8 yang dipasang pada Xiaomi Redmi Note 4.

Notifikasi dan Lock Screen

Notifikasi MIUI 8 menampakkan perubahan pada susun atur tetingkap widgetnya. Bar atas sekali merupakan widget cuaca diikuti quick toggles yang boleh dikembangkan lagi dan terakhir sekali adalah bar notifikasi untuk aplikasi dan lain-lain.

 

Home Screen

Tidak ada banyak perubahan pada bahagian ini di mana secara keseluruhannya Home Screen MIUI 8 sama sahaja dengan MIUI 7. Xiaomi masih lagi mengekalkan antaramuka tanpa app drawer di mana kesemua aplikasi anda akan diletakkan pada muka hadapan.

 

Recent Panels

Recent Panels di MIUI 8 menunjukkan sedikit peningkatan daripada MIUI 7. Sebelum ini aplikasi di Recent Panels dipaparkan sebagai ikon, namun pada versi ini Xiaomi menggunakan paparan jenis kad.

 

Second Space & Dual Apps

Satu fungsi yang dibawa pada MIUI 8 adalah Dual Apps dan Second Space. Second Space berfungsi mewujudkan satu lagi profil pengguna pada peranti. Dual Apps pula membolehkan anda untuk membuat salinan aplikasi kedua, contohnya melalui fungsi ini anda boleh memasang dua aplikasi WhatsApp pada peranti anda. Kedua-dua fungsi ini boleh diakses dari menu Settings.

 

Themes

Dari fungsi Themes, anda boleh mengubah rupa antaramuka peranti anda. Terdapat pelbagai pilihan tema disediakan berserta fungsi untuk memuat turun wallpaper. Kami memilih untuk menggunakan tema asas yang nampak lebih simple dan kemas.

 

Settings & About Phone

Paparan di mana segala tetapan dan informasi peranti boleh diakses.

 

PRESTASI

Di atas kertas, cip pemproses Snapdragon 650 (Redmi Note 3) adalah lebih bagus berbanding Snapdragon 625 yang digunakan pada Redmi Note 4, dan kami tidak mengharapkan Redmi Note 4 mengalahkan skor ujian benchmark Redmi Note 3 selepas mengetahui fokus cip Snapdragon  625 adalah pada penggunaan tenaga yang efektif menerusi rekaan cip 14nm berbanding 28nm pada Redmi Note 3.

Tetapi kami masih ingin menjalankan Ujian benchmark bagi melihat sejauh manakah dua generasi Redmi Note ini berbeza di antara satu sama lain.

Ujian Benchmark Redmi Note 4 vs Redmi Note 3

Hasil ujian menunjukkan cip pemproses pada Redmi Note 4 tidak berjaya menandingi kelajuan pemproses Redmi Note 3. Namun dari segi praktikal dan kegunaan harian, kami tidak mengalami sebarang masalah ketika menggunakan peranti untuk melayari web, menggunakan aplikasi dan juga bermain permainan, bahkan pemproses Snapdragon 625 yang mesra kuasa menawarkan sesuatu yang menarik, kami akan ceritakan hal tersebut pada bahagian bateri.

 

BATERI

Seperti yang kami sebutkan pada bahagian prestasi, cip Snapdragon 625 merupakan pemproses yang fokus kepada ciri penjimatan kuasa. Sebelum melakukan ujian cas bateri, kami sudah pun dapat merasakan kehebatan bateri dan sistem kuasa Redmi Note 4, kerana memerlukan masa kira-kira dua jam untuk memaksa cas bateri turun kepada 0% daripada 25% dengan penggunaan aplikasi permainan dan juga tontonan video yang berat.

Masa cas

Kami mengecas Redmi Note 4 dari 0% sehingga 100% dan merekodkannya secara berkala. Walaupun Xiaomi tidak menyatakan sama ada peranti ini menyokong pengecasan pantas, namun Snapdragon 625 sebenarnya hadir dengan sokongan Qualcomm Quick Charge 3.0.

 

Ujian Benchmark

Di samping ujian cas, ujian benchmark bateri juga dijalankan bagi melihat dengan lebih mendalam kemampuan bateri dan sistem kuasa Redmi Note 4.

Hasil keputusan ujian benchmark bateri memang benar-benar mengagumkan. Ujian ini dimulakan dengan bateri pada kapasiti 85% dan dibiarkan semalaman, selepas lebih kurang 6 jam, kapasiti bateri hanya turun sehingga 45% sahaja. Aplikasi ujian juga memberikan skor yang tinggi kepada Redmi Note 4, jelas menunjukkan kehebatan bateri dan sistem kuasa peranti ini.

*Ujian dilakukan menggunakan aplikasi PCMark dengan paparan peranti ditetapkan pada 50% auto brightness.

 

KAMERA

Xiaomi Redmi Note 4 dilengkapi dengan kamera utama 16MP dengan f/2.0 aperture dan PDAF. Tambah baik pada kamera bukanlah sesuatu yang besar pada model terbaru ini di mana Xiaomi hanya meningkatkan sensor 13MP kepada 16MP.

Asalkan anda menangkap gambar di kawasan yang mempunyai pencahayaan yang baik, anda boleh mendapatkan kualiti gambar yang cukup bagus untuk dikongsikan ke media sosial. Untuk membandingkan kualiti kamera Redmi Note 4 dengan kamera pada smartphone lain yang harganya mencecah ribuan ringgit adalah kurang adil. Namun untuk rujukan anda, bolehlah lihat sendiri kualiti gambar yang diambil menggunakan Redmi Note 4 ini.

Indoor
Indoor
Indoor
Indoor

▲ Gambar diambil di dalam keadaan cahaya indoor yang normal. Warna dan butiran gambar nampak jelas dan baik.

 

▲ Lampu ditutup dan keadaan agak malap pada ketika ini, seperti yang dijangkakan, noise sungguh ketara di dalam gambar ini.

 

▲ Kualiti gambar dari jarak dekat hanya okay sahaja. Tona warna asal sedikit lari dan juga butiran gambar agak kurang di sesetengah bahagian.

 

▲ Kualiti gambar selfie yang diambil menggunakan kamera hadapan 5MP adalah memuaskan.

Ulasan kamera: Seperti yang dijangkakan pada peranti bajet, kualiti kamera pada Redmi Note 4 bukanlah yang terbaik mahupun dapat mencabar peranti yang berada pada skala harga ribuan ringgit. Namun ia masih mampu menjalankan tugas menangkap gambar dengan baik bersama kualiti imej yang memuaskan.

 

RUMUSAN

Satu perkara yang harus dipertimbangkan pada Redmi Note 4 adalah cip Snapdragon 625. Berdasarkan ujian yang dilakukan yang juga telah didokumentasikan dari pelbagai ulasan, ternyata cip Snapdragon 650 di dalam Redmi Note 3 mempunyai prestasi pemproses yang lebih baik. Namun untuk mengatakan Redmi Note 4 tidak hebat dan mempunyai masalah di dalam penggunaan seharian adalah salah sama sekali. Sepanjang menggunakan peranti, kami tidak mempunyai masalah untuk menggunakan aplikasi yang berat dan segala kerja setakat ini lancar.

Di sebalik kuasa pemproses yang sedikit rendah dari Redmi Note 3, cip pemproses yang ada pada Redmi Note 4 membawakan kelebihan dari segi kuasa. Bagi pengguna yang mahukan peranti yang sentiasa bersedia untuk digunakan tanpa perlu mengecas berulang kali, Redmi Note 4 merupakan pilihan baik. Dari segi bateri dan sistem kuasa, Redmi Note 4 merupakan salah satu peranti terbaik yang kami pernah cuba.

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here