Reviu Eksklusif: Pertarungan Smartphone Dwi Lensa! 3 Kategori Harga Berbeza Mana Lebih Bagus?!

1083
- Iklan -

HARGA Jualan
ZTE Blade V8: RM999
ASUS ZenFone 3 Zoom: RM2,099
Apple iPhone 7 Plus: RM3,799 (32GB) /
RM4,299 (128GB) / RM4,799 (256GB)

Trend sokongan dwi lensa untuk kamera utama bukanlah sesuatu yang asing bagi tahun 2017 kerana teknologi sebegini semakin popular diperkenalkan oleh pengeluar smartphone. Bahkan penggunaan dwi lensa ini bukan sahaja boleh ditemui pada model smartphone yang dijual pada harga yang mahal sahaja, malah pengguna juga kini berupaya menikmati keupayaan penggambaran dwi lensa pada smartphone yang boleh dikategorikan dalam kelas mampu milik dan juga pertengahan.

Jadi bagi merungkai persoalan pembaca sama ada aspek harga jualan yang berbeza bakal menentukan kelebihan atau kehebatan aspek penggambaran dwi lensa ini, maka kami telah membandingkan dua buah model yang baru diperkenalkan untuk pasaran tempatan iaitu ZTE Blade V8 (harga mampu milik) dan juga ASUS ZenFone 3 Zoom (harga pertengahan), dengan Apple iPhone 7 Plus (harga premium) untuk pertarungan kali ini…

 

FIGHT 01: SPESIFIKASI

 

ULASAN…

Pada pendapat kami, ASUS ZenFone 3 Zoom dan juga Apple iPhone 7 Plus layak digelar sebagai pemenang untuk pertempuran spesifikasi. Ini kerana kedua-duanya memiliki kelebihan dan juga kekurangannya yang tersendiri, sebagai contoh Apple iPhone 7 Plus menyokong pemproses yang jauh lebih berprestasi tinggi, hadir dengan speaker berkualiti stereo dan juga tampil lebih lasak dengan pengiktirafan IP67. Manakala ASUS ZenFone 3 Zoom pula menyokong paparan AMOLED yang lebih menarik, kerangka lebih kompak dan juga kapasiti bateri yang sangat besar iaitu 5000mAh.

 

FIGHT 02: PAKEJ PEMBELIAN

Selain daripada peranti itu sendiri, perkara yang sering dilihat oleh pengguna apabila ingin membeli sesebuah smartphone turut dipengaruhi oleh pakej pembelian yang ditawarkan. Jadi dengan harga jualan yang berbeza ini, adakah pengguna akan menerima pakej pembelian yang lebih baik bergantung kepada harganya ataupun sebaliknya?! Selain daripada aksesori asas seperti kabel USB, adapter pengecas dan juga earphone, berikut adalah aksesori tambahan yang boleh anda miliki dengan setiap pembelian smartphone ini.

ZTE: VR Box, ZenFone 3 Zoom: Sarung Pelindung Silikon, iPhone 7 Plus: Adapter Lightning ke Audio Jack
ULASAN…

Walaupun dijual pada harga yang lebih rendah, ZTE BLADE V8 menawarkan pakej pembelian yang lebih berbaloi kerana ia didatangkan sekali dengan VR Box bagi melengkapi fungsi penggambaran 3D yang disokongnya. Bahkan pendekatan yang diambil oleh ZTE adalah sangat pintar kerana VR Box ini tidak diberikan secara berasingan, sebaliknya bahagian penutup pada kotak pembungkusan itu sendiri boleh digunakan sebagai VR Box.

 

FIGHT 03: REKAAN DWI LENSA

Berbeza dengan smartphone yang tampil dengan sokongan satu sahaja lensa kamera, rekaan smartphone dengan dwi lensa adalah sedikit mencabar kerana pengeluar perlu memikirkan tentang kedudukan terbaik untuk menempatkan kedua-dua lensa tersebut agar ia kelihatan lebih simetri. Jadi mari kita sama-sama membandingkan rekaan lensa kamera yang dapat dilihat pada ketiga-tiga model ini…

ULASAN…

Tidak dinafikan lagi bahawa rekaan dwi lensa pada ASUS ZenFone 3 Zoom kelihatan hampir sama seperti Apple iPhone 7 Plus, kenapa pilih ASUS ZenFone 3 Zoom sebagai pemenang kerana rekaannya yang kelihatan lebih menarik dan premium, terutamanya pada sentuhan dua gelung pada kedua-dua lensanya. Malah susunan Dual LED Flash, sensor Color Correction RGB dan juga Laser Auto Focus juga kelihatan lebih kemas pada bahagian bawah lensa kamera. Selain itu, permukaan dwi lensa juga tidak terlalu timbul jika dibandingkan dengan dua lagi pesaingnya.

 

FIGHT 04: AKSES PANTAS KAMERA

Seperti kebanyakan smartphone lain, ketiga-tiga model ini menyokong akses pantas kamera melalui ikon kamera yang tersedia pada paparan lockscreen. Ini bermakna anda boleh terus menggunakan kamera untuk mengambil gambar dengan lebih pantas tanpa perlu mengakses smartphone menggunakan pengimbas cap jari ataupun kata laluan.

ZTE Blade V8

Selain daripada penyediaan ikon pintas kamera pada paparan lockscreen, anda boleh terus mengambil gambar dengan menekan butang volume down sebanyak dua kali.

ASUS ZenFone 3 Zoom

Untuk mengakses kamera tanpa perlu mengakses smartphone, anda perlu menyentuh dan meleretkan ikon pintas kamera ke mana-mana arah pada paparan skrin.

Apple iPhone 7 Plus

Berbanding ASUS ZenFone 3 Zoom, mengakses kamera pada Apple iPhone 7 Plus terasa lebih mudah kerana anda hanya perlu meleretkan paparan skrin lockscreen ke kiri.

ULASAN…

Di antara ketiga-tiga model yang diperbandingkan ini, hanya ZTE Blade V8 sahaja yang menyokong butang dedikasi kamera khas yang membolehkan anda untuk mengambil gambar kandid yang dikenali sebagai ‘snapshot’. Untuk menggunakan fungsi ini, anda perlu menghalakan smartphone yang berada dalam mod sleep ke arah objek dan tekan butang volume down sebanyak dua kali secara berturut-turut. Anda juga perlu memastikan smartphone tidak digerakkan supaya hasil gambar tidak kabur.

 

FIGHT 05: KEUNIKAN DWI LENSA

Untuk pengetahuan anda, tidak semua smartphone dengan sokongan dwi lensa menyokong fungsi penggambaran yang sama. Sebagai contoh, sokongan dwi lensa pada peranti seperti Huawei atau Honor tampil dengan satu lensa RGB dan satu lensa Monokrom (hitam dan putih), manakala untuk peranti LG pula sokongan dwi lensanya hadir dengan lensa standard dan juga lensa dengan sokongan sudut luas. Jadi bagaimana pula dengan ketiga-tiga model yang diperbandingkan ini?! Mari sama-sama kita lihat apakah keunikan dwi lensa yang disokongnya.

ZTE Blade V8
Viewfinder Kamera


▲ Bagi mengoptimakan sokongan dua buah lensa kamera, ZTE Blade V8 telah menyediakan satu mod khas yang dinamakan sebagai DUAL pada paparan viewfinder. Di dalam mod ini, terdapat dua mod penggambaran yang boleh anda pilih iaitu BOKEH dan juga 3D PHOTO.

 

BOKEH

▲ Untuk menggunakan mod penggambaran dengan efek bokeh atau kabur ini, anda perlu berada pada jarak 1.5 kaki dari subjek bagi mendapatkan efek bokeh yang terbaik. Lebih menariknya, anda boleh melaras aperture ataupun tahap kabur di antara f/8.0 hingga f/1.0 secara manual. Bahkan efek bokeh juga boleh dilaras pada bila-bila masa selepas gambar diambil.

3D PHOTO

▲ Sama seperti BOKEH, mod ini juga memerlukan anda untuk berada pada jarak yang sama dari subjek untuk efek yang optimum. Anda hanya perlu mengambil gambar seperti biasa dan hasil gambar akan dipaparkan dalam format 3D yang boleh dilihat semula menggunakan VR Box yang disediakan dalam pakej pembelian.

 

ASUS ZenFone 3 Zoom
Viewfinder Kamera

▲ Antara ketiga-tiga model ini, ASUS ZenFone 3 Zoom tampil dengan konsep dwi lensa yang lebih ringkas kerana ia hanya menyokong satu sahaja fungsi yang akan mengoptimumkan sokongan lensa kedua iaitu untuk tujuan zum optikal sahaja. Ini bermakna sokongan lensa dwi lensa itu tidak boleh digunakan untuk mendapatkan efek bokeh atau kabur sebagaimana kebanyakan smartphone dwi lensa yang lain di pasaran.

 

2.3x Zum Optikal

▲ Apabila anda mengakses mod kamera, jelas dapat dilihat satu butang khas yang tertera ‘1.0x’ betul-betul pada bahagian atas butang shutter. Apabila butang itu disentuh, secara automatik lensa kamera kedua akan diaktifkan dengan keupayaan zum optikal sehingga 2.3x. Malah anda juga boleh meleretkan butang tersebut ke kiri untuk menggunakan fungsi zum digital sehingga mencecah 12x.

 

Apple iPhone 7 Plus PEMENANG!!!
Viewfinder Kamera

▲ Sama seperti ASUS ZenFone 3 Zoom, sokongan dwi lensa pada Apple iPhone 7 Plus juga boleh digunakan untuk tujuan zum optikal sehingga 2x. Tetapi apa yang lebih menariknya, sokongan lensa kedua yang juga dikenali sebagai lensa Telefoto ini juga boleh digunakan untuk membantu anda mengambil gambar potret dengan efek bokeh yang sangat menarik.

2.0x Zum Optikal

▲ Cara untuk menggunakan zum optikal pada Apple iPhone 7 Plus adalah sama seperti yang digunakan oleh ASUS ZenFone 3 Zoom. Untuk pengetahuan anda, Apple sebenarnya terlebih dahulu memperkenalkan cara zum sebegini dan perbezaan untuk menggunakan fungsi zum digital secara manual sehingga 6x ini boleh diakses dengan lebih mudah.

 

Portrait

▲ Mod ini membolehkan anda mengabadikan gambar potret dengan efek bokeh yang menarik mirip seperti menggunakan DSLR. Namun berbeza dengan ZTE BLADE V8, efek bokeh pada Apple iPhone 7 Plus adalah automatik dan tidak boleh dilaras secara manual sama ada sebelum ataupun selepas gambar diambil. Cuma cara pengambilan gambar terasa lebih mudah dengan notifikasi khas yang disediakan.

ULASAN…

Jika dilihat pada keunikan sokongan dwi lensa pada ketiga-tiga model ini, mod penggambaran dwi lensa yang tersedia pada Apple iPhone 7 Plus adalah yang terbaik dan praktikal untuk kegunaan harian. Ini kerana tidak dinafikan lagi bahawa trend pengambilan gambar potret dengan efek bokeh bukan sahaja menjanjikan hasil gambar yang sangat menarik untuk dikongsikan ke media sosial. Bahkan fungsi zum optikal sehingga 2x yang disokongnya bukan sahaja terhad untuk gambar sahaja seperti yang tersedia pada ASUS ZenFone 3 Zoom, tetapi fungsi zum optikal itu juga turut boleh digunakan dalam rakaman video.

 

FIGHT 06: PERBANDINGAN HASIL GAMBAR DWI LENSA

Setelah membandingkan pakej pembelian dan juga penampilan fizikal ketiga-tiga model ini, apa kata kita lihat pula keupayaan penggambaran dwi lensa yang disokong oleh ZTE Blade V8, ASUS ZenFone 3 Zoom dan juga Apple iPhone 7 Plus seperti berikut…

MOD KAMERA #1: HDR OUTDOOR
ZTE Blade V8
ASUS ZenFone 3 Zoom
Apple iPhone 7 Plus
ULASAN…

Penggambaran menggunakan mod HDR telah berjaya diungguli oleh ZTE Blade V8 kerana ia berjaya menghasilkan gambar yang sangat terang dan juga kejituan warna yang sangat menonjol berbanding pesaingnya yang lain. ASUS ZenFone 3 Zoom berhadapan dengan isu hasil gambar yang kelihatan agak kebiruan (cool) dan efek artifak, manakala Apple iPhone 7 Plus pula berhadapan dengan masalah noise pada bahagian tertentu.

 

MOD KAMERA #2: ZUM OUTDOOR
ZTE Blade V8, Zum Digital x2.0
ASUS ZenFone 3 Zoom, Zum Optikal x2.3
Apple iPhone 7 Plus, Zum Optikal x2.0
ULASAN…

Apabila menggunakan fungsi zum pada ketiga-tiga model ini, sokongan zum digital pada ZTE Blade V8 sememangnya tidak boleh menandingi ASUS ZenFone 3 mahupun Apple iPhone 7 Plus yang dilengkapi dengan lensa kedua untuk sokongan zum optikal. Walaupun kualiti gambar zum optikal pada ASUS ZenFone 3 Zoom dan Apple iPhone 7 Plus boleh dianggap setanding, tetapi kami menobatkan Apple iPhone 7 Plus sebagai pemenang kerana keaslian warna berjaya dikekalkan sama seperti warna asal dan pendedahan cahayanya juga lebih baik.

 

MOD KAMERA #3: INDOOR LOW-LIGHT
ZTE Blade V8
ASUS ZenFone 3 Zoom
Apple iPhone 7 Plus
ULASAN…

Berbeza dengan penggambaran di luar (outdoor), hasil gambar ZTE Blade V8 di dalam bilik dengan persekitaran yang kurang cahaya agak mengecewakan kerana ia bukan sahaja mengambil masa yang agak lama untuk memproses gambar selepas butang shutter diklik, malah hasil gambarnya juga kelihatan sangat kabur. Manakala Apple iPhone 7 Plus berjaya menghasilkan gambar yang sangat jelas dan terang tetapi ia berhadapan dengan isu noise yang agak jelas kelihatan. Jadi ASUS ZenFone 3 Zoom menjadi pilihan kami kerana hasil gambarnya kelihatan seimbang antara kejelasan gambar dan tidak berhadapan isu noise.

 

MOD KAMERA#4 : ZUM INDOOR LOW-LIGHT
ZTE Blade V8
ASUS ZenFone 3 Zoom
Apple iPhone 7 Plus
ULASAN…

Dalam persekitaran yang sama, Apple iPhone 7 Plus sekali lagi berjaya dinobatkan sebagai pemenang apabila subjek dizum menggunakan zum optikal sebanyak 2 kali. Ini kerana walaupun masih berhadapan dengan isu noise, sekurang-kurangnya ia masih mampu mengambil gambar dengan sangat jelas berbanding ZTE Blade V8 ataupun ASUS ZenFone 3 Zoom.

 

MOD KAMERA #5: BOKEH
ZTE Blade V8
ASUS ZenFone 3 Zoom
Apple iPhone 7 Plus
ULASAN…

Efek bokeh (kabur) pada ZTE Blade V8 dan juga Apple iPhone 7 Plus kelihatan setanding kualitinya, tetapi ZTE Blade V8 memiliki sedikit kelebihan kerana anda boleh menentukan tahap bokeh yang diingini secara manual selepas gambar diambil. Namun begitu, proses mengambil gambar dengan efek bokeh menggunakan mod Portrait pada Apple iPhone 7 Plus terasa jauh lebih mudah kerana perkataan ‘Depth Effect’ akan bertukar kuning apabila efek bokeh telah dioptimumkan dan hasil gambarnya juga kelihatan lebih terang dan menarik. Ini berbeza dengan ASUS ZenFone 3 Zoom yang mana lensa keduanya tidak menyokong mod penggambaran dengan efek bokeh, sebaliknya terhad untuk tujuan zum optikal x2.3 sahaja.

 

RUMUSAN

ZTE BLADE V8
PRO

Walaupun dijual pada harga mampu milik, ia berjaya mengoptimumkan sokongan dwi lensa dengan menawarkan dua mod penggambaran berbeza iaitu Bokeh yang boleh dilaras secara manual tahap kekaburan selepas gambar diambil, dan juga 3D yang boleh dilihat semula menggunakan kotak VR yang tersedia dalam pakej pembelian. Malah sokongan HDR pada model ini juga boleh dianggap sangat baik kualitinya kerana ia berjaya menghasilkan gambar yang sangat terang dengan kejituan warna yang sangat baik.

KONTRA

Namun kekurangan utama kamera ZTE Blade V8 adalah masa proses yang agak lama selepas butang shutter diklik, terutamanya di dalam persekitaran yang kurang cahaya. Ini bermakna anda perlu memastikan tangan tidak bergoyang selepas butang tersebut diklik untuk beberapa saat bagi mengelakkan hasil gambar yang kabur. Selain itu pengambilan gambar Bokeh juga tidak begitu mesra pengguna kerana tiada sebarang notifikasi dipaparkan untuk memberitahu sama ada efek itu berada pada tahap optimum. Bahkan lensa keduanya juga tidak menyokong fungsi zum optikal sebagaimana pesaingnya.

 

ASUS ZenFone 3 Zoom
PRO

Sokongan lensa kedua pada ASUS ZenFone 3 Zoom membolehkan anda untuk menggunakan fungsi zum tanpa menjejaskan kualiti gambar kerana ia dilengkapi dengan sokongan x2.3 zum optikal. Masa fokus yang diambil juga terasa sangat pantas berbanding pesaingnya yang lain kerana ia telah dilengkapi dengan sokongan teknologi laser auto fokus. Tidak cukup dengan itu, ia juga menyokong mod penggambaran yang sangat banyak dan menarik untuk dicuba.

KONTRA

Jika dilihat pada sokongan spesifikasi kamera dwi lensa yang disokong oleh ASUS ZenFone 3 Zoom, ianya tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan Apple iPhone 7 Plus. Tetapi agak mengecewakan kerana sokongan lensa kedua pada smartphone ini hanya terhad untuk tujuan zum optikal sehingga x2.3 sahaja. Ini bermakna ia tidak boleh digunakan untuk membantu anda mendapatkan hasil gambar dengan efek bokeh sebagaimana pesaingnya yang lain.

 

Apple iPhone 7 Plus
PRO

Tidak dinafikan lagi bahawa Apple iPhone 7 Plus merupakan smartphone dengan sokongan dwi lensa yang paling mahal harga jualannya di pasaran. Namun begitu, sokongan dwi lensa yang dimiliki oleh model ini boleh dianggap antara yang terbaik di pasaran kerana ia menawarkan fungsi yang sangat praktikal untuk digunakan dalam kehidupan seharian. Fungsi pertama yang ditawarkan adalah 2 kali zum optikal yang mampu mengekalkan hasil gambar yang berkualiti, dan fungsi kedua adalah penyediaan mod penggambaran Portrait dengan efek bokeh mirip seperti DSLR yang sangat mudah untuk digunakan.

KONTRA

Sungguhpun begitu, kekurangan paling utama Apple iPhone 7 Plus adalah isu noise pada hasil gambar terutamanya di dalam persekitaran yang agak gelap. Ini sedikit mengecewakan memandangkan ia menyokong lensa utama dengan aperture f/1.8 yang sepatutnya mampu mengurangkan isu noise tersebut. Bahkan anda juga tidak boleh menggunakan mod penggambaran Portrait dengan efek bokeh di dalam persekitaran yang kurang cahaya. Sama seperti model iPhone yang lain, mod penggambaran adalah sangat terhad dan tiada mod Manual disediakan.

 

- Iklan -

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here